BERITA UTAMASELANGOR

Penguatkuasa diugut, MB bertemu Ketua Polis Negeri

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 19 MEI: Dato’ Menteri Besar memaklumkan sudah bertemu Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin bagi membincangkan isu pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang didakwa diugut gangster, baru-baru ini.

Amirudin Shari berkata, beliau memandang serius isu terbabit dan berharap supaya kes disiasat dengan teliti.

Katanya, ia ekoran kes yang membabitkan ugutan hampir sama berlaku terhadap penguatkuasa di seluruh Selangor.

“Saya juga akan bawa perkara ini ke dalam Majlis Keselamatan Negeri dan akan mencadangkan kepada pihak Persekutuan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan Negeri mahu menangani masalah gangsterisme ala mafia yang dilihat cuba menakutkan pegawai, ia juga perkembangan tidak sihat dan sekiranya tidak ditangani dengan baik kemungkinan undang-undang negeri mahupun negara akan terganggu,” katanya kepada SelangorKini selepas melawat Bazar Ramadan Selayang Baru, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian ugutan membabitkan rumah milik Pengarah Penguatkuasa MPS di Taman Muhibbah Rawang, Selangor diserang menggunakan cat berwarna merah, hingga menyebabkan dua kenderaan milik mangsa rosak.

Beliau, Norhayati Ahmad berkata, ancaman diterimanya itu tidak menghilangkan semangatnya yang baharu dua bulan mengambil alih jawatan itu.

Katanya, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Rawang dan menganggap ancaman diteriman serius dengan motif tertentu, namun tidak tahu siapa yang bertanggungjawab melakukannya.

“Saya tidak pernah terima sebarang ugutan sebelum ini, sudah tentu apa yang berlaku membuatkan saya berasa takut, ia turut memberi kesan kepada jiran yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kawalan keselamatan di kediamannya dipertingkat melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), selain rondaan anggota polis dan penguatkuasa MPS.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :