NASIONAL

Penguatkuasaan terhadap aduan pengguna dipertingkat

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pemeriksaan premis dan pembukaan kertas siasatan secara agresif oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuktikan bahawa kementerian itu amat memandang serius aduan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata sejak tahun lepas hingga sekarang, sebanyak 550,000 buah premis telah dibuat pemeriksaan dan pemantauan dengan 11,281 kertas siasatan dibuka bersama nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM49.04 juta.

“Pada masa sama, kita juga telah menerima sebanyak 16,086 aduan sepanjang 2018, manakala dari Januari hingga Mac pula, kita menerima sebanyak 5,755 aduan.

“Yang penting, berapa peratus penyelesaian aduan?… sebanyak 85.3 peratus aduan telah diselesaikan, termasuklah ada di antara aduan itu telah kita rujuk pada tribunal pengguna,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena setahun Pakatan Harapan (PAKATAN) membentuk kerajaan.

Beliau berkata tiga jenis aduan tertinggi adalah mengenai harga barang, penipuan atas talian, dan perkhidmatan mengelirukan.

Selain pencapaian itu di bawah kerajaan PAKATAN, kementerian juga berjaya menggerakkan Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) yang berperanan menyelaras dan membincangkan isu-isu kos sara hidup rakyat dan mencapai keputusan segera.

“Antara pelaksanaan dasar yang dibincang dan dihasilkan di MTSHN termasuklah pas tanpa had My100 bagi perkhidmatan LRT, MRT dan monorel, peluasan program ‘Foodbank’ Malaysia ke Universiti Awam bagi membantu mahasiswa yang memerlukan dengan pemberian bantuan makanan.

“Selain itu Kajian Rantaian Bekalan bagi mengesan dan mengkaji punca kenaikan hidup, selain penubuhan Jawatankuasa Tindakan E-Dagang Kebangsaan, bagi mengurangkan kos sara hidup dengan menggalakkan perniagaan e-dagang di Malaysia turut dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini juga sebanyak 332 Kedai Ekonomi Pengguna (i-Keep) yang menjual barangan keperluan harian seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan beras pada harga dua hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran, beroperasi di seluruh negara, hasil kerjasama strategik dengan 10 syarikat peruncitan dan koperasi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :