NASIONAL

Pengundi PRK Sandakan diminta buat semakan awal

SANDAKAN, 5 MEI: Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

Pengundi terbabit boleh membuat semakan melalui saluran dengan melayari portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di www.spr.gov.my, menelefon ke talian 03-88927018, menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNo Kad Pengenalan).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

Sebaliknya, boleh terus ke saluran mengundi manakala bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih, katanya.

Menurutnya para pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Beliau berkata catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :