NASIONAL

Peniaga Bazar Ramadan Danau Kota perlu pohon lesen ‘online’

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Peniaga-peniaga Bazar Ramadan Danau Kota dibenarkan beroperasi tahun ini namun dengan syarat membuat permohonan ‘online’ atau secara dalam talian tanpa melibatkan pihak ketiga, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Pihaknya memberi kelulusan kepada kira-kira 140 peniaga dan penjaja di kawasan itu selepas mengambil bancian dan menyiasat bahawa mereka tidak terlibat dengan isu siasatan terhadap penganjur bazar itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

“Pegawai-pegawai DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah membuat bancian ke atas peniaga semalam dan mereka dikehendaki membuat permohonan secara dalam talian tanpa melibatkan mana-mana pihak selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Keputusan DBKL berhubung isu itu telah menyelesaikan kebimbangan peniaga berkenaan status niaga di bazar itu ekoran notis arahan penutupan bazar sehari sebelum puasa yang dikeluarkan oleh DBKL.

“Soal tapak bazar itu diteruskan pada tahun-tahun berikutnya akan dibincangkan kemudian, yang penting status niaga tahun ini berjaya diselesaikan.

“DBKL juga akan membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dan memastikan tahap kebersihan bazar berada dalam keadaan baik,” katanya.

Rabu lepas, Bernama melaporkan lebih 100 penjaja dan peniaga Bazar Ramadan Danau Kota meminta DBKL membenarkan mereka berniaga di tapak itu sekali gus mengeluarkan lesen perniagaan berikutan tindakan DBKL yang mengeluarkan notis arahan penutupan bazar sehari sebelum puasa.

Tindakan itu dilihat sebagai sangat keterlaluan dan merugikan peniaga kerana persediaan telah dibuat beberapa bulan sebelumnya.

— BERNAMA


Pengarang :