BERITA UTAMASELANGOR

Penjawat awam Selangor terima bantuan khas sebulan gaji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan, iaitu Insentif Mahabbah Selangor satu bulan gaji kepada 19,244 penjawat awam di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada 739 kakitangan jabatan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor membabitkan implikasi kewangan RM33.84 juta.

Kerajaan Negeri turut membuat keputusan memuktamadkan jumlah bantuan khas kewangan untuk tahun ini sebanyak tiga bulan gaji.

“Ini bermakna, bantuan khas kewangan pada akhir tahun ini adalah penambahan dua bulan gaji berasaskan mata pencapaian prestasi yang diperolehi ketua jabatan,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Kerajaan Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK hari ini.

Menurut beliau, semua pemberian itu akan dibayar pada 7 Jun dengan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM 33.84 juta.

“Tarikh pembayaran dipilih selepas Hari Raya kerana ia bermanfaat kepada penjawat awam yang menerima gaji pada 24 atau 24 Mei ini. Jadi ia boleh digunakan selepas Hari Raya.

“Bantuan Khas Kewangan Hari Raya itu juga akan diberikan kepada 1,521 kakitangan beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) serta organisasi strategik negeri,” katanya.

Antaranya UNISEL, Yayasan Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor, Communication Corporation Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor, Inspens dan Landasan Lumayan.

Turut diberikan kepada SSDU Inovations, SmartSel Sdn Bhd, Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad, Institut Darul Ehsan dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM 5, 621, 200.75 (RM 5.621 juta).

Sementara itu, Amirudin turut mengumumkan bantuan khas kewangan Insentif Mahabbah Ramadan yang melibatkan 2053 surau dan 390 masjid di Selangor membabitkan sejumlah RM 4.1715 juta.

“Petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan siak akan menerima setiap seorang RM 400.

“Manakala petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau akan menerima setiap seorang RM 300.

“Bayaran ini merangkumi seramai 12, 995 petugas masjid dan surau seluruh Selangor dan bayaran ini akan diberikan kepada Pejabat Agama setiap daerah sebelum Aidilfitri,” katanya.


Pengarang :