NASIONAL

Penstrukturan semula JAKOA terus diteliti

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Kerajaan sedang meneliti cadangan penstrukturan semula Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha memastikan masyarakat berkenaan terus terbela secara lebih efektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berkata, jabatan berkenaan membentangkan permohonan penstrukturan semula pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mac lalu.

“Kertas cadangan penstrukturan semula oleh JAKOA pada mesyuarat berkenaan sedang dikemas kini dan akan dikemukakan untuk pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah dirunding di peringkat Jabatan Perdana Menteri(JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya, hari ini, sebelum usul berkenaan dilulus sebulat suara Anggota Dewan Negara.

Dalam perkembangan sama, katanya pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (semakan 1974) (Akta 134) juga dalam penelitian kerajaan antara lain bagi menjadikannya lebih relevan dengan keperluan semasa dan dapat menangani masalah berkaitan masyarakat berkenaan

Katanya cadangan pindaan akta berkenaan telah didaftarkan pihak JAKOA ke dalam senarai akta untuk pindaan oleh kerajaan yang dipantau Hal Ehwal Undang-undang JPM.

“Perkara-perkara yang akan ditambah baik termasuk tafsiran Orang Asli, pentadbiran Orang Asli, pendidikan, tanah dan sebagainya sejajar keperluan semasa,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :