SASTERA

Penunggu lebuh raya

Oleh Haizir Othman

Hari ini masuk hari ketiga kereta azia berwarna merah hati dengan nombor plat wilayah membuntuti maivi hijau mudanya dalam baris panjang kesesakan jalan raya di lebuh raya persekutuan.

Dia tidak tahu apakah ini kebetulan, atau memang si pemandu mengekorinya sejak keluar dari pejabat lagi. Dari jelingan mata ke cermin pandang belakang, gadis itu hari ini dilihat berbaju kurung biru muda, warna rasmi partinya yang baru sahaja menang pilihan raya umum baru-baru ini, menukar kerajaan buat pertama kali dalam tempoh seratus tahun sejarah pembentukan negara.

Dia juga tidak ingat pakaian yang disarung si gadis pada hari pertama dan kedua tapi dia amat pasti pada ketiga-tiga hari, perempuan muda itu mengenakan kaca mata hitam seperti lagaknya pelancong Barat yang tak tahan silau matahari negara beriklim tropika.

Cuma besar dan bulatnya saiz kaca mata itu menimbulkan andaian bahawa ia sengaja mahu identitinya tidak dikenali sesiapa.

Jika benar dia diekori, ada dua pilihan sikap yang boleh dia ambil. Pertama, bersikap waspada, hati-hati, curiga, berjaga-jaga. Gadis itu boleh jadi ejen asing dari negara Barat, pengintip upahan CIA atau Mossad, atau sekurang-kurangnya ahli kepada organisasi penjenayah antarabangsa yang mahu mencari tebusan dari kalangan penjawat awam baru sepertinya untuk membebaskan ketua mereka yang ditahan di sini.

Kedua, dia boleh sahaja berasa senang hati, memasang mod lelaki romeo dan playboy, bersedia untuk bersemuka dengan si gadis dengan sebaris ayat-ayat pikat di dalam poket sebelum sama-sama jatuh cinta lewat hidangan makan malam sederhana di sebuah kafe hipster pinggir ibu kota.

Berteman buku puisi Sapardi adalah satu bonus, atau diiringi lagu-lagu Amerika tahun 70an – kalau boleh Killing Me Softly dendangan Lori Liebermann, atau lagi bagus kalau dapat A Case of You nyanyian Joni Mitchell.

Tapi, itu jika dia diekori. Jika tidak, ia akan jadi kebetulan paling celaka sepanjang hidupnya. Atau sepanjang hidup gadis itu juga.

Masuk hari keempat, ibu kota disimbah hujan lebat. Jarak pandangan jatuh sehingga betul-betul di depan kereta. Dia tidak dapat memastikan jika si gadis azia ada di belakang buntutnya atau tidak, kerana apa yang lebih membimbangkan adalah jika dia menghentam buntut kereta lain di depan.

Disebabkan pengulangan peristiwa secara berturut-turut sejak tiga hari lalu, dia barangkali telah membuang jauh segala kemungkinan buruk yang boleh dikaitkan dengan gadis itu.

Sebaliknya fikirannya telah menerawang ke daerah lain yang lebih jauh dan sunyi – seperti meneka apakah warna bajunya hari ini, adakah masih ia berkaca mata besar, dan apakah minuman sejuk yang dia sukai untuk digandingkan bersama filet mignon dengan keledek lenyek hidangan berdua?

Titis-titis hujan kasar menimpa bumbung keretanya dengan marah, sementara langit hitam menunjukkan wajah berang. Sabung-menyabung kilat membakar matanya. Pada sela-sela cahayanya, dia dapat melihat sepintas lalu baris panjang kenderaan kesesakan jalan raya seperti selalu, pada kedua-dua arah. Cuma kali ini, kerana sedang menuruni bukit, dia juga dapat melihat kesesakan itu disebabkan bencana yang berlaku beberapa puluh meter di hadapan. Melibatkan sebuah treler kontena 40 kaki dengan sebuah kereta.

Oh.

Adakah kereta yang disondol itu berwarna merah hati? Azia dengan nombor plat wilayah? Di dalamnya gadis berkaca mata hitam besar?

Di sebalik pertanyaan-pertanyaan itu, apa yang lebih besar daripada kaca mata hitam si gadis adalah gusar yang mula bersarang dalam hatinya. Dia mengharapkan satu lagi kilatan cahaya agar dapat melihat semula visual tadi dengan lebih teliti. Walaupun kerasnya titis-titis hujan di cermin depan akan sedaya-upaya menggagalkan usahanya.

Minit demi minit berlalu, benih bimbangnya mula tumbuh menjadi pohon. Buntutnya terasa panas, tidak selesa, duduk tidak senang. Tangannya mula merayap ke kepala, belakang tengkuk, sebelum memicit-micit hidungnya yang pesek. Sebentar kemudian jarinya menekan suis di pintu kereta, menurunkan tingkap walau cukup tahu di luar hujan sedang garang seperti raksasa.

Dia mahu penglihatan yang lebih jelas. Maka, mahu tidak mahu dia menjulurkan kepala ke luar tingkap demi resolusi penuh. Treler tidak jauh di depan, dia sudah boleh nampak. Cuma kereta yang disondol tidak kelihatan, membuatkan pohon bimbang dalam dirinya tadi tumbuh mendadak menjadi pokok balak.

Sewaktu kecil, kerana kerapnya bermenung dan membuang pandangan kosong ke luar pintu, dia sering ditegur Ayah yang mengintai dari balik lembar-lembar surat khabar. Jangan banyak berangan, kata Ayah. Terbang tinggi sangat ke langit lepas, nanti kalau jatuh ke bumi, teruk kau nahas.

Apabila besar sedikit dia menonton filem Indonesia, Roman Picisan dan terkesan dengan kata-kata Nungki Kusumastuti kepada Artika Sari Devi, “Jika nanti kauterbangun dari mimpi indahmu, jangan menangis, Canting!”, berasakan dia adalah Canting dan ibu Canting adalah Ayahnya.

Dan pada hari hujan, walaupun jalan licin dan pandangan kabur, hakikat ini tidak mahu diakui jiwa-jiwa kering yang dibaluti jaket hitam para penunggang motosikal. Apabila ada halangan di depan, kecenderungan untuk dilanggar mereka begitu sahaja adalah tinggi.

Ada beberapa sebab perlanggaran berlaku. Antaranya jiwa terlalu kering walau jalan basah. Lorong motosikal tiada di situ mahupun dalam kertas perancangan menteri baru. Angan-angan merayau agak terlalu jauh. Dan Ayah tiada di sana untuk melemparkan peringatan.

Pada pandangan terakhir, dia dapat melihat buntut kereta yang disondol treler sebelum patah tengkuknya dirempuh motosikal yang laju membelah celah-celah kenderaan yang sempit. Ia bukanlah azia merah hati dengan plat wilayah, yang untuk satu sebab jelas, membuatkannya berasa lega. Walaupun ia mungkin perasaan terakhirnya di muka bumi.

Kerana kereta milik gadis berkaca mata besar itu dari awal ada di buntutnya seperti selalu. Tertawa, menanggalkan kaca mata, dia memberi isyarat ke kanan sebelum perlahan-lahan memintas maivi hijau muda dan berlalu. Sebentar lagi barisan kenderaan semakin panjang. Dan jari-jemari hujan yang kasar dengan cepat membasuh darah di atas jalan.


Pengarang :