NASIONAL

Penyelewengan barang bersubsidi ke negara jiran masih terkawal

 

PASIR MAS, 12 MEI: Penyelewengan barangan bersubsidi seperti minyak masak ke negara jiran terutama menjelangnya Aidilfitri ini masih terkawal dengan kawalan dan pemantauan ketat tetap dilaksanakan pihak berkuasa.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, semua pihak berkuasa kini bekerjasama dalam membendung penyeludupan barangan berkenaan pada setiap masa.

“Kita akan terus menggerakkan `task force’ dalam urusan memantau dan melaksanakan peraturan untuk mengawal masalah ini.

“Sebab itu kita nasihatkan kepada pihak peruncit dan pembungkus bagi memastikan buku stok yang mereka miliki diselenggara dengan betul dan baik kerana jika tidak kita mengetahui berlakunya penyelewengan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Adnan berkata, ada antara peruncit dan pembungkus mengambil mudah dalam penyediaan buku stok dan ketika diperiksa ada yang gagal mengemukakan buku berkenaan dan pihaknya terpaksa mengambil tindakan.

“Saya nyatakan kegagalan mengemukakan buku stok adalah satu kesalahan serius dan boleh diambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, ketika operasi naziran pada 18 Mac hingga 22 Mac lalu, pejabat itu telah membuka 16 kes kertas siasatan dengan enam kes dituduh di mahkamah, empat kes dikenakan tindakan kompaun dan enam kes masih dalam siasatan.

Semua mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(a) dan (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal mengemukakan maklumat setelah diminta oleh pegawai bekalan secara bertulis dan mengemukakan maklumat palsu.

“Ia termasuk melanggar Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal menyelenggara buku stok,” katanya.

Sementara itu, pada 16 Feb lepas pihaknya telah bertindak ke atas sebuah stesen minyak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang ketika serbuan mendapati terdapat tiga buah kenderaan disyaki penyeludup sedang membuat pengisian minyak ke dalam tangki tambahan kenderaan.

Katanya, pemilik stesen minyak berkenaan telah melanggar Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal mengemukakan maklumat yang dikehendaki.

“Pemilik kenderaan itu pula telah melakukan kesalahan iaitu berurusniaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :