SUKANKINI

Penyokong Selangor, Kedah dijemput terawih bersama RMS

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 12 MEI: Penyokong bola sepak Selangor dan Kedah dijemput beramai-ramai memenuhi Stadium Shah Alam, pada Rabu ini bagi menyertai program Jom Terawih Bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor.

Berlangsung di gelanggang keramat Merah Kuning, program bersama Raja Muda Selangor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah termasuk majlis berbuka puasa diadakan sebelum perlawanan Liga Super antara pasukan Gergasi Merah dan Helang Merah pada kira-kira jam 10 malam.

Menerusi kenyataan di Facebook, FAS memaklumkan acara itu dijayakan bersama Persatuan Bolasepak Kedah serta mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam sempena Ramadan.

FAS menjelaskan, ia bertujuan mengimarahkan lagi bulan penuh barakah, selain mengeratkah ukhwah antara pihak pengurusan, pemain dan penyokong kedua belah pasukan.

Menggunakan tanda pagar #SelangorKedahBersaudara dan #TerawihDiStadium, program berkenaan juga bakal menampilkan Juara Pencetus Ummah (PU) musim pertama, PU Hafiz yang akan menyampaikan Tazkirah Ramadan kepada pengunjung.

Justeru, penyokong kedua pasukan digalakkan hadir bagi memeriahkan suasana di stadium dan kemasukan bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah adalah percuma.

FOTO EHSAN: PERSATUAN BOLASEPAK SELANGOR (FAS)


Pengarang :