SELANGOR

Perangsang kumpul barangan ‘preloved’ untuk asnaf

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 16 MEI: Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang) giat mengumpul barangan ‘preloved’ (barang kesayangan) daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada asnaf fakir dan miskin di Eco Free Market, esok.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam Media dan Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Mohd Fauzi Ghazali berkata, agihan barang terpakai kepada golongan  itu bermula pada 11 pagi hingga 1 tengah hari di Plaza Perangsang.

Katanya, program kolaborasi antara Jabatan Agama Islam Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Kami mahu barang yang sudah tidak digunakan ini tidak dibuang begitu sahaja dan hasil pemerhatian pada program yang lalu, kami mendapati mereka ini begitu gembira menerima barangan ini.

“Di Plaza Perangsang, kami turut menyediakan booth supaya mereka boleh memilih barangan diperlukan, malah ia akan lebih berkesan dan sekurang-kurangnya memberi semangat dan harapan kepada mereka untuk membuat persiapan Aidilfitri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Kumpulan Perangsang di Hotel Summit USJ, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin.

Suzila berkata, Perangsang menjadi penaja utama Eco Free Market di Shah Alam, Pahang dan Johor.

“Alhamdulillah, ia memberi kesan kepada beribu golongan yang memerlukan barang keperluan sekali gus penyumbang turut berkongsi rasa gembira kerana mereka mempunyai landasan untuk meletakkan barang terapakai,” katanya.


Pengarang :