EKONOMI

Perangsang Selangor tumpu empat perniagaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MEI: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) kini memfokuskan empat perniagaan utama membabitkan perkilangan, perdagangan, perlesenan dan insfrastruktur.

Pengerusinya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, ia bagi membolehkan syarikat berkenaan menjana pendapatan baharu dan prospek perniagaan yang lebih dinamik masa hadapan.

Katanya, empat sektor itu turut dijadikan model dalam menjayakan Pelan Transformasi Perniagaan (BTP) syarikat.

“Langkah ini juga dibuat susulan kita tidak lagi terbabit dalam industri air berikutan kita menjual semua kepentingan dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash Holdings) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), 24 April lepas.

“Kami memperluaskan jangkauan itu bagi memastikan kepelbagaian geografi, sektor dan produk dapat memperkuatkan kedudukan Perangsang Selangor di pasaran,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas AGM yang bertemakan ‘Growing Value, Sharpening Focus’, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Pada masa sama, Raja Shahreen berkata, menerusi agenda BTP, pertumbuhan pendapatan melonjakkan asas perniagaan kumpulan dengan lebih kukuh.

“Walaupun prospek ekonomi global dan serantau yang mencabar, kami percaya bahawa syarikat berada pada kedudukan yang baik.

“Ia dengan memanfaatkan peluang-peluang baharu yang dirancang menerusi strategi pertumbuhan dan rancangan penciptaan nilai yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, setiap perniagaan yang dijalankan mempunyai kepakaran masing-masing dan berkembang baik bagi memastikan Perangsang Selangor menjana pulangan yang lebih baik untuk pemegang saham pada masa hadapan.

Pada 24 April lepas, Syarikat bersekutu milik 30 peratus Perangsang Selangor, SPLASH Holdings menerima tawaran pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) daripada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui perolehan 50,000,000 saham biasa bernilai RM1.00 sesaham dan 350,000,000 Saham Pinjaman Tanpa Cagaran Boleh Tebus di dalam SPLASH untuk balasan tunai sebanyak RM2.55 bilion pada 9 Ogos 2018.

Kumpulan Perangsang memperoleh pendapatan yang kukuh sebanyak RM582.3 juta pada tahun 2018 berbanding RM361.5 juta pada 2017, iaitu mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 61.1 peratus.


Pengarang :