SELANGOR

Perbanyakkan program rai anak yatim, asnaf

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 9 MEI: Para guru dan penjaga pusat kebajikan anak yatim berharap program berbuka puasa bersama golongan itu diperbanyakkan bagi meraikan mereka yang tidak bernasib baik.

Mudir Pusat Pengajian Darul Mahabbah, Muhammad Abdullah Osman berkata, selain memberi makan kepada anak yatim, program seumpama itu dapat mengeratkan silaturahim dengan masyarakat awam.

Katanya, ketika ini masyarakat awam mempunyai kesedaran berhubung kepentingan menyantuni anak yatim, namun ia perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa.

“Mereka tiada keluarga, ibu dan ayah tetapi kalau masyarakat dapat gembirakan mereka, tentu mereka seronok terutama bakal menjelang raya nanti.

“Kami juga ingin berterima kasih pada SACC Convec Sdn Bhd kerana sudi menjemput kami dan melayan kerenah anak murid kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa SACC Convec Sdn Bhd bersama anak yatim dan asnaf, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

Sementara itu, Pengelola Pusat Jagaan Anak Yatim Puncak Desa Kepong, Ramzi Abu Bakar berkata, ini kali pertama pihaknya dijemput syarikat korporat bagi meraikan anak yatim jagaan mereka.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada SACC Convec dan ADABI kerana memberi sumbangan kepada pusat anak yatim berkenaan.

“Sebelum ini, kita hanya kumpul dana sendiri sahaja bagi meraikan anak-anak ini. Ada juga beberapa sumbangan daripada masyarakat sekitar kawasan sekolah tetapi ini kali pertama kami dijemput begini, jadi alhamdulillah.

“Jika selepas ini ada yang ingin menjemput bagi berkongsi rezeki bersama anak-anak ini, kami sangat berbesar hati,” katanya.

Majlis berbuka puasa itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SACC Convec Sdn Bhd dengan kerjasama ADABI Consumers Industries Sdn Bhd.

Seramai 55 orang anak yatim dan asnaf diraikan pada majlis berkenaan dengan setiap daripada mereka menerima sumbangan duit raya dan hadiah.


Pengarang :