SELANGOR

Periksa kediaman sebelum pulang raya

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 30 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyarankan orang ramai supaya memeriksa kediaman sebelum pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk memastikan kediaman mereka berada dalam keadaan bersih dan tiada takungan air.

“Bagi yang pulang ke kampung, patuhi segala panduan atau nasihat terutama daripada polis apabila anda mahu meninggalkan rumah.

“Pastikan juga kediaman anda bebas daripada takungan air seperti bekas plastik, pasu bunga, tong cat, bekas simpanan air yang boleh membawa kepada pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan Bil 5/2019 MPK, di sini.

Sementara itu, Mohamad Yasid turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.

“Diharapkan perayaan Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kemeriahan, bagi yang pulang ke kampung berhati-hati semasa memandu sepanjang perjalanan ke destinasi,” katanya.


Pengarang :