RAUB, 4 Mei — Aisyam Mat Noor (kiri) cuba menenangkan emosi saudaranya Maznah Mat Zin (kanan) yang tidak dapat menahan sedih semasa menunggu jenazah tiga keluarga mereka di bilik Perubatan Forensik Hospital Raub, hari ini. Empat sekeluarga antara enam mangsa yang maut selepas dua kenderaan bertembung di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Sungai Ruan di Raub, awal pagi ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Perjalanan pulang kenduri arwah berakhir tragedi

RAUB, 4 MEI: Perjalanan pulang Nasrul Fakhri Mansor sekeluarga selepas menghadiri kenduri arwah berakhir tragedi apabila empat daripada mereka maut dalam kemalangan berhampiran Simpang Sungai Ruan di sini, awal pagi ini.

Ibu mertuanya, Zaimah Jusoh, 59, berkata keluarganya mengadakan kenduri arwah hari ke-40 pemergian ayahnya (Zaimah), Jusoh Deraman pada malam Jumaat lepas di Kampung Tok Has, Jerteh Terengganu, bagaimanapun dia yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur tidak dapat pulang.

Zaimah menambah, beliau difahamkan Nasrul Fakhri, 38, membuat keputusan untuk bergerak pulang pada malam Jumaat, kerana arwah lebih gemar memandu pada waktu malam.

“Saya tidak menyangka kepulangan kali ini adalah perjalanan mereka yang terakhir. Kali terakhir saya berjumpa anak, menantu dan cucu adalah pada hari pengebumian ayah saya (Jusoh).

“Saya tak tahu mereka balik untuk kenduri arwah kerana tak diberitahu dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Tahu-tahu pukul 11 pagi ini, anak yang lain beritahu mereka meninggal dunia,” katanya semasa ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raub di sini, hari ini.

Pada kejadian 2.45 pagi ini anak Zaimah, Hartini Mokhtar, 37, dan suaminya Nasrul Fakhri serta dua anak mereka Nur Faqihah, empat tahun, dan Nur Fateen Sufi, setahun, maut apabila kereta Produa Kancil dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini.

Dua lagi anak mereka Muhammad Haziq, 10, dan Nur Fathiyah, lapan tahun, parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis, Lipis dekat sini.

Kemalangan juga menyebabkan penumpang Myvi, Hasliza Arini Muhamad@hamid, 34, dari Kampung Kelaburan di Tumpat, Kelantan dan anak bongsunya Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, dua tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala suami Hasliza Arini, Mohd Syaril Sulaiman, 44, dan dua anak pasangan itu Khaliesah Khairina, tujuh tahun, dan Dhia Afriena, lima tahun, cedera parah.

Sementara itu, adik tiri Nasrul Fakhri, Noriza Mohd Nordin, 31, berkata mereka sekeluarga hanya mengetahui abangnya terlibat dalam kemalangan pada pukul 10 pagi tadi, apabila keluarga di kampung memaklumkannya bahawa polis sedang mencari pemilik kereta Kancil itu.

Noriza berkata arwah abangnya yang bekerja sebagai kakitangan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu bergerak pulang ke kampung mereka di Kampung Kenor di Kuala Krai, Kelantan pada Rabu sebelum bertolak ke Jerteh.

“Kali terakhir kami berhubung ialah pada pukul 11.43 malam apabila abang berkongsi lokasinya di kumpulan WhatsApp keluarga. Pada pukul 6.00 pagi, saya bertanya kedudukan mereka, namun tidak berjawab.

“Selepas diberitahu polis mencari pemilik (kereta) Kancil, saya cuba menghubungi abang dan kakak ipar berkali-kali tapi semuanya tak berjawab… akhirnya saya dapat panggilan dari kampung beritahu mereka sudah tiada,” katanya.

Noriza berkata dia diberitahu oleh emak saudaranya Maznah Mat Zin bahawa pada kali terakhir mereka berkumpul Isnin lepas, Nasrul Fakhri ada bergurau mahu anak-anaknya dijaga Maznah jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Katanya, Maznah yang menetap berhampiran rumah abangnya di Sungai Buloh, Selangor menegur arwah supaya tidak bercakap begitu.

“Tapi abang hanya menjawab mati boleh berlaku bila-bila,” katanya.

Jenazah Nasrul Fakhri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kenor, Kuala Krai manakala Hartini dan dua anak mereka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Tok Has, Jerteh, Terengganu.

-BERNAMA


Pengarang :