Permohonan pendakwaan kes Rizal, Rosmah dibicara bersama didengar 24 Mei | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Permohonan pendakwaan kes Rizal, Rosmah dibicara bersama didengar 24 Mei

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tarikh 24 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Mohamed Zaini menetapkan 24 Mei untuk pendengaran berhubung permohonan pendakwaan dan hujahan bagi semua pihak berhubung kes Rosmah, 67, dan Rizal, 45.


Pada 4 Okt 2018, Rosmah yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Bagi kes rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next