NASIONAL

Permohonan pindahkan kes rasuah Rosmah didengar 28 Jun

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas tuduhan menerima rasuah RM5 juta sebagai upah mendapatkan projek sistem solar akan didengar pada 28 Jun ini di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn kepada media selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahyudin Mohmad Som, di sini hari ini.

“Hari ini pengurusan kes bagi permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah (Rosmah) dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada 28 Jun ini ,” katanya.

Peguam Ummi Kartini Abd Latiff mewakili Rosmah, 68.

Pada 10 Mei lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lepas.

Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan tersebut di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum menurut Subseksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – BERNAMA


Pengarang :