NASIONAL

Persatuan teksi mohon campur tangan PM untuk kesaksamaan

PUTRAJAYA, 21 MEI: Persatuan teksi yang digelar Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) memohon campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan hak sama rata termasuk syarat dan peraturan kepada semua pemandu teksi seperti yang dinikmati pengusaha perkhidmatan e-hailing.

Yang Dipertua GTSM Kamarudin Mohd Hussain yang mewakili 200 pertubuhan teksi di Semenanjung Malaysia mendakwa semua peraturan yang dahulunya dibuat demi menjaga keselamatan pemandu dan penumpang jalan raya dipinda untuk kepentingan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

“Kami tidak meminta e-hailing diharamkan tetapi wujud kesamarataan dari segi syarat dan peraturan kepada pemandu teksi dan juga pengusaha e-hailing,” katanya ketika ditemui media selepas menghantar surat untuk memohon mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di perkarangan Perdana Putra di sini hari ini.

Surat itu diterima seorang wakil Pejabat Perdana Menteri.

GTSM kemudiannya membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM di sini terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Kamarudin mendakwa Loke meminda beberapa peraturan semata-mata memberi kepentingan kepada pemandu e-hailing dan peraturan itu diubah tanpa sebarangan kajian dan rundingan dengan GTSM.

-BERNAMA


Pengarang :