NASIONAL

Pertumbuhan menggalakkan KDNK rangsang keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Prestasi memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2019 memberi galakan positif kepada pertumbuhan negara di masa depan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sambil menyifatkan prestasi suku pertama itu sebagai “mengagumkan dan melangkaui jangkaan”, Lim berkata, keputusan tersebut melebihi daripada jangkaan kebanyakan pengurus dana antarabangsa dan tempatan yang mengunjurkan pertumbuhan itu kepada hanya 4.3 peratus dan ke bawah.

“Kita harap semua pihak akan yakin (terhadap ekonomi negara) seperti pelabur asing dan nampaknya mereka tidak dipengaruhi oleh (mana-mana) laporan yang mungkin tidak berapa positif dan mereka masih melabur dengan lebih banyak (pada suku ini) berbanding suku-suku sebelum ini.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Meja Bulat Fintech Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, dengan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Berasaskan pelarasan bermusim sukuan, KDNK meningkat 1.1 peratus.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata insentif bagi inisiatif pendanaan awam dan rakan setara bagi mikro, perusahaan kecil dan sederhana (Mikro-PKS) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2020.

Katanya inisiatif tersebut yang dibincangkan pada persidangan meja bulat tertutup itu akan menyediakan alternatif pembiayaan selain kos lebih rendah untuk membiayai Mikro-PKS.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :