NASIONAL

Pesakit beguk disaran elak aktiviti ziarah pada Aidilfitri

 

KUALA TERENGGANU, 27 Mei: Penularan penyakit beguk di Terengganu terus meningkat kepada 214 kes setakat 21 Mei berbanding 114 kes pada awal bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Dr Mohd berkata jumlah itu adalah peningkatan hampir 100 peratus kes beguk dalam tempoh hanya tiga minggu.

“Sebolehnya, kami berharap agar pesakit dapat mengelak aktiviti ziarah sepanjang Aidilfitri jika masih mempunyai tanda atau gejala beguk ini. Pesakit dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penularan kes.

Keluarga pesakit juga perlu segera membawa anggota keluarga ke klinik yang berdekatan jika ada antara mereka yang mempunyai tanda atau gejala mumps (beguk),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pesakit beguk juga dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung selama sembilan hari dari hari pertama bermulanya bengkak kelenjar, malah pesakit perlu mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi memastikan virus itu tidak tersebar kepada orang lain.

Dr Mohd berkata kes beguk yang berlaku setakat ini menular di sekolah berasrama penuh, madrasah dan sekolah pondok.

“Ketika berada di sekolah, mereka telah dikuarantinkan oleh pengurusan sekolah, jadi kita berharap langkah kuarantin ini diteruskan pihak keluarga pesakit sepanjang mereka berada di rumah.

“Pesakit perlu palingkan muka dari makanan dan orang lain apabila batuk dan bersin. Mereka juga perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin.

Seterusnya, tisu itu mesti dibuang dalam bakul sampah manakala sapu tangan yang sudah digunakan tidak boleh dikongsi dengan individu yang lain. Amalan kebersihan seperti ini diharap dapat mencegah penularan kes beguk di Terengganu,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :