SEREMBAN, 11 April — Pekerja kontraktor dilihat melakukan kerja-kerja mengecat garisan jalan di sebuah persimpangan berhampiran pekan Rantau. Pengundi Rantau akan menjalani proses mengundi sekali lagi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau pada 13 April ini selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan calon BN di kerusi DUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu adalah tidak sah dan terbatal. PRK ini juga menyaksikan pertembungan empat penjuru diantara calon PH Dr S Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan Malar Rajaram (Bebas). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

PH perangi rasuah pulih sistem pentadbiran negara

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan usaha demi usaha untuk memulihkan sistem pentadbiran negara termasuk bersungguh-sungguh memerangi rasuah sejak setahun lalu, semakin menampakkan hasil positif.

Hasil awal menyaksikan negara dapat menyingkirkkan imej kleptokrasi yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini. Malaysia juga membaiki kedudukannya dengan berada di tangga 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Selepas mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei tahun lepas, kerajaan PH bertindak segera ‘membersihkan’ pentadbiran negara daripada kegiatan salah laku dan rasuah, yang menyaksikan ramai pemimpin kerajaan terdahulu dihadapkan ke mahkamah termasuk bagi kes yang berkaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Soal selidik yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Hari Antirasuah di seluruh negara awal tahun ini mendapati 82 peratus responden berpendapat isu rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Dengan tekad memecah rantaian rasuah di Malaysia, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari lepas, yang sejajar dengan usaha merealisasikan manifestonya ke arah menjadi negara bebas rasuah dan berintegriti.

Pendekatan antirasuah

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Alsagoff berkata kerajaan PH sememangnya serius memerangi rasuah apabila berterusan menangkap dan mendakwa ahli politik, penjawat awam dan pekerja swasta yang menyalah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah.

Namun, dalam melaksanakan ‘perang’ terhadap rasuah, beliau berpendapat kerajaan perlu memperhebatkan lagi pendekatan yang digunakan khususnya secara ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Menurutnya kerajaan perlu memberikan pendidikan awal tentang bahaya rasuah bermula dari peringkat sekolah dan menjadikan antirasuah sebagai kurikulum di sekolah rendah dan menengah.

“Ini bertujuan mendidik generasi muda tentang buruknya rasuah… dengan kesedaran itu, mereka akan memberikan komitmen terhadap langkah-langkah membasmi rasuah dari semasa ke semasa,” katanya.

Profesor Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata banyak tindakan yang telah dan sedang dilakukan kerajaan PH dalam memerangi rasuah.

Antaranya dengan menyemak semula pemberian projek pembangunan yang dilihat tidak telus melalui rundingan terus serta menyelesaikan skandal melalui perundangan dan penstrukturan institusi seperti 1MDB, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Kerajaan juga mahu memperkenalkan undang-undang baharu yang berkaitan pembiayaan politik, memperkenalkan sistem pengisytiharan harta serta menambah baik dasar dan mekanisme penerimaan hadiah.

“Selain itu, kerajaan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar kepada 2 penggal sahaja,” katanya.

Ini membuktikan keseriusan kerajaan membanteras rasuah di Malaysia dengan kerajaan turut bercadang menubuhkan mahkamah khas untuk membicarakan kes-kes rasuah.

Prestasi positif

Azizuddin juga melihat prestasi kerajaan PH bertambah positif selepas setahun mentadbir kerana ia sentiasa menggerakkan proses pemulihan terhadap sistem politik, pentadbiran dan ekonomi negara.

“Bukan mudah bagi kerajaan melaksanakan langkah-langkah pemulihan khususnya untuk ekonomi negara. Namun, proses tersebut dijalankan secara berperingkat dan menampakkan kesan positif meskipun ada yang tidak berpuas hati kerana diketepikan dalam proses tersebut.

“Proses pembaharuan ini pastinya mengambil masa kerana ia memerlukan reformasi institusi dan perundangan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga dilihat bersungguh-sungguh dalam memberi pendedahan dan pendidikan khususnya kepada kakitangan awam agar mereka dapat membezakan sokongan untuk parti politik dan kerajaan.

Menurutnya sifat profesionalisme itu perlu diterapkan supaya kakitangan awam boleh berkhidmat dengan setia kepada kerajaan walaupun mungkin tidak menyokong atau menyokong parti yang membentuk kerajaan.

“Ini kerana khidmat penjawat awam adalah untuk rakyat dan itulah yang perlu diutamakan,” katanya.

Syed Agil Alsagoff juga bersetuju bahawa kerajaan PH berusaha memperkenalkan pembaharuan dari segi dasar pentadbiran, politik dan sosial walaupun ia berdepan dengan beberapa isu dan kekangan lain.

“Penerimaan rakyat terhadap usaha kerajaan PH jelas menunjukkan mereka mahukan perubahan dari segi corak pentadbiran.

“Namun, mereka juga mahukan kerajaan PH mendapatkan kepercayaan dan keyakinan mereka menerusi pembasmian penyalahgunaan kuasa, rasuah dan lain-lain yang berleluasa dalam kalangan pentadbir kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau menyifatkan beberapa langkah ‘pembersihan’ yang dijalankan kerajaan dalam sektor awam adalah untuk menyuburkan semangat kesetiaan terhadap kerajaan yang memerintah selain membentuk ketelusan bermaklumat dalam kalangan penjawat awam.

Ia juga bertujuan memupuk semangat motivasi dan dedikasi kerja bersandarkan kepada pematuhan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), membasmikan sikap sokongan kepada parti politik atau agenda politik kepartian dalam kalangan mereka.

Komitmen manifesto

Dalam pada itu, Azizuddin optimis dengan kemampuan kerajaan untuk melakukan lebih banyak pembaharuan dalam tempoh lima tahun pentadbirannya, yang selaras dengan usahanya untuk meneruskan komitmen manifesto pilihan raya PH.

Sehingga kini, kerajaan telah mengambil langkah untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak, menyelesaikan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), memulihkan institusi seperti Tabung Haji dan Felda, menangani isu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta memperkenalkan caruman untuk suri rumah dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Sebenarnya, banyak yang telah dicapai. Saya optimis matlamat manifesto PH boleh dilaksanakan selagi kerajaan berada dalam keadaan stabil untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Secara peribadi, beliau berpendapat pencapaian terbesar kerajaan PH setakat ini adalah menyelesaikan isu berkaitan ECRL dan Tabung Haji.

Baru-baru ini, kerajaan memutuskan untuk meneruskan ECRL dengan kos Fasa 1 dan 2 dikurangkan kepada RM44 bilion susulan permeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC).

Kerajaan juga berjaya membantu Tabung Haji meningkatkan jumlah asetnya kepada RM76.5 bilion berbanding nilai tanggungan dan deposit RM75.5 bilion pada 2018 menerusi pelan pemulihan dan penstrukturan semula.

Azizuddin berkata kritikan dan kecaman adalah normal terutamanya bagi sebuah kerajaan baharu tetapi selepas setahun mentadbir, kerajaan perlu memastikan menteri-menteri Kabinet sudah mahir mengendalikan potfolio masing-masing.

“Bagi saya, kritikan secara konstruktif perlu dilakukan ke atas kerajaan PH supaya rakyat boleh melakukan ‘semak dan imbang’ terhadap peranan dan dasar kerajaan PH,” katanya sambil berharap kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada usaha mengatasi isu kos sara hidup rakyat dan ekonomi negara.

Yakinkan rakyat

Dalam menambat hati rakyat supaya yakin dengan pentadbiran PH, Syed Agil berkata kerajaan perlu menunaikan janji-janji utamanya walaupun ia perlu dilakukan secara beransur-ansur berikutan kekangan kewangan yang dihadapi selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Menurutnya kerajaan perlu sentiasa memastikan wujudnya jalinan muhibah antara kerajaan dan rakyat menerusi pencerahan isu dan dasar kerajaan kepada rakyat.

“Kerajaan mesti melaksanakan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan sosial yang teratur bagi merangsang aktiviti ekonomi negara, mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan serta meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat dengan mengurangkan beban hidup mereka,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu mengurangkan birokrasi terutamanya dari segi penyaluran maklumat dan pengagihan dana dengan menambah baik sistem komunikasi di antara kakitangan awam dan rakyat supaya hasrat kerajaan untuk mendekati rakyat secara pragmatik dapat dijayakan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Syed Agil berpendapat kerajaan harus menggalakkan rakyat supaya melakukan pengawalan kendiri untuk mengelak terjerumus dalam kancah jenayah siber termasuk penyebaran fitnah atau mencetus ketegangan kaum di negara ini.

“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pendekatan lebih komprehensif untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap usaha merangsang perpaduan nasional dan meningkatkan lagi keharmonian rakyat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :