SUKANKINI

Pilihan Ex-Malaysia bantu ringankan beban Anuar Abu Bakar

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 5 MEI: Bekas pemain Malaysia menganjurkan satu perlawanan amal menentang kelab pengumpul jersi bagi mengisi tabung sumbangan membantu legenda Selangor, Anuar Abu Bakar yang kini dalam proses rawatan penyakit kanser hati.

Berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Pilihan Ex-Malaysia menang 3-0 menewaskan Pilihan Kolektor XI.

Pilihan Ex-Malaysia menampilkan legenda Selangor terdiri daripada Azman Adnan, Malek Rahman, Azrul Amri Borhan, Azmil Azali, B Rajnikhan, Wan Rohaimi Wan Ismail dan Hardi Jaafar.

Anuar, 48, pernah membantu Red Giants menjadi juara Liga Premier dan Piala Malaysia selain menyarung jersi pasukan Johor, Pulau Pinang serta Kelantan.

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Kemerdekaan (1995), Sukan SEA di Thailand (1996) dan Kejohanan Piala Tiger di Singapura (1996).

Perlawanan ini juga berjaya mengumpul hampir RM1,500 menerusi hasil jualan baju dan sumbangan peminat yang hadir.

Turut dipamerkan beberapa jersi Malaysia sekitar tahun 90an sehingga sekarang untuk tatapan umum.

Kesempatan ini juga dimanfaatkan sepenuhnya peminat untuk merakam gambar kenangan bersama legenda Malaysia selain mendapatkan tandatangan pemain pada koleksi jersi kesayangan mereka.

Kredit Foto: Kolektor XI


Pengarang :