PILPRES 2019: Prabowo belum mengaku kalah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PILPRES 2019: Prabowo belum mengaku kalah

JAKARTA, 25 MEI: Proses Pilihan Raya Umum Indonesia (PEMILU 2019) ternyata belum selesai, yang setakat ini berlangsung penuh cabaran dan tragedi.

Tujuh perusuh terbunuh dan ratusan cedera dalam insiden rusuhan selepas keputusan Pilihan Raya Presiden (PILPRES 2019) diumumkan Selasa lalu.

Sebelum ini, lebih 500 petugas PEMILU, dilaporkan meninggal dunia, kerana “kepenatan” dan serangan jantung, dalam mengendalikan proses PEMILU 2019.


Sebanyak 1.7 juta petugas PEMILU 2019 menguruskan proses PILPRES, Pemilihan anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR), pemilihan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif membabitkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.

Proses keputusan PILPRES 2019 masih belum selesai dalam memuktamadkan kemenangan Presiden Joko Widodo (Jokowi), bagi memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu untuk penggal keduanya.

Calon PILPRES 2019 yang diumumkan kalah oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), Prabowo Subianto, menerusi peguamnya, Bambang Widjojanto,memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada 10.43 malam tadi.

MK dibuka sehingga 12 tengah malam, untuk masa dan tarikh akhir kemukakan bantahan PEMILU 2019.

KPU sebelum ini menetapkan dalam tempoh 72 jam selepas pengumuman PILPRES pada Selasa lalu, untuk pihak yang kalah, mengemukakan bantahan terhadap keputusan itu di MK.

Jika tiada bantahan, KPU akan istiharkan kemenangan muktamad Jokowi, dan jika ada, MK yang akan putuskan.
Proses persidangan (perbicaraan) dijadual bermula 14 Jun ini, sebelum MK dijangka membuat keputusan pada 28 Jun 2019.

Pemerhati dan penganalisis berkata apa jua keputusan MK nanti itu adalah sesuatu yang muktamad, dan perlu dihormati semua pihak, demi kestabilan politik di Indonesia.

Prabowo, yang sebelum ini sering mendakwa berlaku politik wang, penipuan dan pembabitan pihak tertentu berkonspirasi memenangkan Jokowi, perlu membuktikan tuduhannya itu pada persidangan di MK.

“Majoriti 16.95 juta undi, adalah besar, sukar untuk mengatakan ia satu konspirasi pihak tertentu dalam melakukan penipuan,” kata pemerhati politik.

Pada 1.46 pagi Selasa, KPU mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

“Terdapat 813,350 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian, dan di setiap TPS, terdapat sekitar 200 pengundi.

“Jika berlaku penipuan, pasukan Jokowi memerlukan konspirasi yang cukup besar dan terancang, untuk meraih majoriti 16.95 juta undi itu,” kata pemerhati politik.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next