NASIONAL

Pinjaman SRC RM3.95 bilion tidak ikut dasar KWAP – Bekas CEO

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Surat permohonan oleh SRC International Sdn Bhd untuk pinjaman RM3.95 bilion tidak memenuhi dasar keperluan prosedur oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas CEO KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, ini kerana sebarang permohonan pinjaman perlu dialamatkan kepada KWAP sedangkan permohonan pinjaman oleh SRC dalam sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani oleh pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dialamatkan kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai wanita itu menyatakan demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-19 Najib yang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ishak : Permohonan ini tidak ikut polisi pinjaman KWAP seperti yang Datuk nyatakan di perenggan 10, dalam pernyataan saksi, sebab datuk kata tadı kena kemukakan kepada KWAP?

Azian : Ya, surat berkenaan (permohonan pinjaman) tidak memenuhi syarat KWAP bagi prosedur ini.

Membacakan pernyataan saksinya, Azian berkata beliau menerima surat asal permohonan SRC itu daripada pegawai Khas Najib, Datuk Azlin Alias (Arwah) dalam bulan Jun 2011.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Arwah Azlin bahawa Perdana Menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC dan beliau telah dirujuk kepada catitan atas surat itu yang Arwah Azlin memberitahu ianya dibuat oleh Najib sendiri.

“Surat yang saya terima itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

“Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah SRC bernama Nik Faisal Ariff Kamil. SRC pada ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” katanya.

Azian, 66, yang kini telah bersara berkata (pada) surat bertarikh 3 Jun 2011 terdapat catatan tulisan tangan serta tandatangan Najib yang ditujukan kepadanya selaku CEO KWAP dan menyatakan “bersetuju dengan cadangan ini” yang bertarikh 5 Jun 2011.

“Mengikut pemahaman saya, catatan “bersetuju dengan cadangan ini” bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya menerima surat permohonan itu dan keesokan hari pada waktu pagi saya berjumpa dengan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah iaitu Pengerusi KWAP dan memaklumkan beliau berkenaan surat itu.

“Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz turut menyatakan bahawa beliau sedia maklum perkara tersebut kerana diberitahu sendiri oleh Datuk Seri Najib sebelum ini. Saya kemudian diarahkan oleh Tan Sri Dr Wan agar KWAP dapat mengkaji permohonan tersebut dan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Panel Pelaburan KWAP,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-38 itu juga berkata penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah menentukan bahawa KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja setelah mengambil risiko pembayaran, risiko negara, risiko industri dan risiko “over concentration” yang tinggi berkaitan jumlah pinjaman yang dimohon oleh SRC berjumlah RM3.95 bilion.

Pegawai wanita itu berkata salah seorang ahli panel pelaburan telah memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan RM1 bilion sahaja kepada SRC.

“Oleh itu, Tan Sri Dr Wan telah memaklumkan saya untuk mengikut beliau sekali untuk berjumpa Datuk Seri Najib.

“Tidak lama selepas itu, saya dan Tan Sri Dr Wan telah pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami telah memaklumkan tentang hasil keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman pembiayaan sejumlah RM1 bilion. Namun, saya tidak ingat tarikh sebenar perjumpaan kami,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun Kertas Panel Pelaburan Khas KWAP disediakan untuk pertimbangan bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan ‘working capital’ dan ‘general investments’.

Kepada satu soalan oleh Ishak, saksi itu berkata adalah mustahil baginya ‘merungkai’ (decipher) kandungan surat itu secara terperinci oleh kerana beliau berjumpa Arwah Azlin waktu malam dan pertemuan berlaku selama 45 minit.

Ishak : Datuk tak dapat ‘decipher’ surat itu walau berjumpa 45 minit?

Azian : Saya baca tapi tidak secara detail mengenai KWAP policy or anything

Ishak : Lepas balik ofis ada Datuk maklumkan Azlin bahawa surat itu tidak ikut prosedur, tidak ikut kriteria polisi KWAP dan tidak dapat dipertimbangkan oleh KWAP?

Azian : Saya tidak maklumkan.

Ishak : Walaupun Datuk sedar, surat tidak ikut prosedur kenapa tak maklumkan?

Azian : I cannot recall why (saya tidak ingat mengapa).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

— BERNAMA


Pengarang :