SELANGOR

PKM Sekinchan teruskan tradisi edar bubur lambuk sempena Ramadan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Seperti tahun sebelumnya, tradisi mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan diteruskan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Ahli Dewan Negerinya, Ng Suee Lim berkata, pihaknya akan menyediakan kuota antara 400 hingga 500 pek bubur lambuk untuk diagihkan pada setiap Rabu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sekinchan.

“Kita akan mengadakan sumbangan bubur lambuk hanya pada setiap Rabu untuk sama-sama meraikan kerana umat Islam dari Subuh hingga Maghrib mereka berpuasa.

“Selain itu, pengagihan bubur lambuk ini juga sebagai sedikit penghargaan daripada PKM Sekinchan.

“Saya sebagai bukan muslim juga akan bersama meraikan Ramadan mubarak dengan mengadakan pelbagai bentuk program selain berbuka puasa bersama kerana inilah budaya kita di Selangor khususnya dan Malaysia amnya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, perbezaan agama, adat dan budaya tidak menghalang beliau untuk turut meraikan kehadiran Ramadan.

“Kita berpeluang mengenali lebih dekat masyarakat Islam di sini sekali gus meningkatkan lagi hubungan masyarakat di sini,” katanya.


Pengarang :