SELANGOR

PKNS agensi Kerajaan Negeri pertama bekerjasama dengan Shopee

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 2 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi agensi Kerajaan Negeri pertama di Selangor bagi menjalankan kempen Aidilfitri bersama landasan e-dagang terkemuka, Shopee.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, ia adalah satu pencapaian terbaik PKNS kerana berpeluang mengetengahkan landasan atas talian membabitkan usahawan di bawah naungannya.

Katanya, PKNS setiasa berusaha bergerak seiring dengan kemajuan teknologi bagi membantu Kerajaan Negeri dari sudut fizikal, ekonomi dan sosial.

“Malah, perniagaan atas talian ini bukan sahaja mendapat sambutan di Malaysia malah ia berjaya merentasi di seluruh Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Selain dari tanggungjawab membangunkan perumahan untuk rakyat, perniagaan juga adalah satu cabang utama PKNS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Raya bersama PKNS di Shopee di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di sini, hari ini.

Siti Zubaidah berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan fizikal negeri.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail; Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim dan Pengurus Perniagaan Shopee Malaysia; Zed Li.

PKNS adalah agensi pembangunan Kerajaan Negeri melalui pembangunan pusat pertumbuhan baharu, perumahan, perindustrian, perniagaan dan pelaburan.

 


Pengarang :