cof
SELANGOR

PKNS edar 12,000 bubur lambuk ‘legend’

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 12,000 pek bubur lambuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan, di Kompleks PKNS di sini, semalam.

Program Agihan Bubur Lambuk Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilaksanakan menerusi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebanyak RM66,600 diperuntukkan PREC bagi menyediakan bubur lambuk yang didatangkan khas dari Kampung Baru, manakala Koperasi PKNS Berhad bertanggungjawab membungkus semula serta menyelaras agihan bubur.

“Pemberian bubur lambuk secara percuma ini dilakukan di Kompleks PKNS Shah Alam pada 9, 13, 27 dan 30 Mei, manakala 9, 16 dan 23 Mei pula di Kompleks PKNS Bangi serta SACC Mall.

“Sebanyak 2,000 pek diedarkan pada setiap agihan bermula 4.30 petang dan kebiasaannya habis dalam tempoh lebih kurang setengah jam.

“Orang ramai memang sangat menantikan bubur lambuk ini kerana ia seperti menjadi tradisi PKNS sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mohd Azizi berkata, penduduk di sekitar Shah Alam tidak perlu ke Kampung Baru untuk mendapatkan bubur lambuk ‘legend’ itu kerana ia boleh didapati di lokasi edaran yang ditetapkan PKNS sepanjang Ramadan.

“Edaran bubur lambuk ini juga sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat awam, terutama pengujung Kompleks PKNS dan SACC Mall yang menjadikan pusat membeli-belah ini sebagai lokasi pilihan utama mendapatkan keperluan hari raya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, Ahli Pengurusan PKNS, Pengurusan PREC, wakil persatuan peniaga dan wakil Persatuan Teksi Shah Alam.


Pengarang :