NASIONAL

PLUS sumbang 10 kenderaan penguatkuasa kepada JPJ

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 16 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyerahkan 10 kenderaan jenis Honda CRV kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai usaha meningkatkan keselamatan di lebuh rayanya.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, kerjasama PLUS-JPJ serta agensi penguatkuasaan lain dan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh PLUS, menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan.

“Penyampaian kenderaan ini akan meningkatkan keselamatan di lebuh raya kami melalui penguatkuasaan secara kerap oleh JPJ. Penyerahan kenderaan kepada JPJ adalah inisiatif untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya.

“Sebanyak 14,532 kemalangan dilaporkan pada 2016 dan angka itu menyusut kepada 13,269 pada tahun 2018.

“Kami juga menyediakan 2 buah Stesen JPJ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dan Gunung Semanggol untuk membantu JPJ dalam menjalankan program advokasi dan keselamatan jalan raya di lebuh raya.

“Manakala, Stesen Penguatkuasaan JPJ ketiga di R&R Pagoh akan dibuka tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Kenderaan dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta terbabit diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Zamakhshari Hanipah oleh beliau sendiri di Persada PLUS dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Kamarudin Jaffar dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Pada masa sama, beliau berkata, PLUS bakal membiayai pemasangan 11 kamera AWAS tambahan di kawasan berisiko kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Kehadiran pihak berkuasa di lebuh raya dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas seperti penyalahgunaan lorong kecemasan, pemanduan tidak berhemah dan melebihi had laju,” katanya.

 


Pengarang :