Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

PM: Isytihar harta termasuk dalam KPI menteri

PUTRAJAYA, 14 MEI: Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mencadangkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) termasuk pengisytiharan harta dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, semua menteri juga harus memastikan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua menteri dan timbalan menteri, dan kita juga akan panjangkan kepada semua anggota parlimen walaupun mereka dalam parti lawan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali kelapan, di sini hari ini.

Katanya, ahli parlimen pembangkang juga perlu mengisytiharkan harta kerana mereka juga mempunyai kuasa tertentu antaranya kuasa mengkritik kerajaan.

“Jadi sebagai yuran, mereka juga perlu isytiharkan harta ,” katanya sambil menambah kerajaan perlu melalui speaker Dewan Rakyat sebelum inisiatif itu dapat dilaksanakan.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, semua menteri juga perlu mewujudkan dan melaksanakan dasar penerimaan hadiah di kementerian masing-masing.

Katanya, semua menteri harus menandatatangani akujanji mengeluarkan arahan dan memastikan pelaksanaan dasar berhubung penerimaan hadiah itu dilaksanakan.

“Sekarang tidak boleh dapat banyak hadiah, dulu masa saya jadi perdana menteri (keempat) saya terima 26 biji kereta, jadi saya beri baliklah. Kalau nak tengok, boleh pergi (Galeri Perdana) Langkawi,” katanya secara berseloroh.

Menurut Dr Mahathir, ketika ini anggota pentadbiran tidak boleh menerima hadiah bernilai lebih daripada RM500, tetapi boleh menerima hadiah dalam bentuk makanan dan bunga.

“Mereka mahu hantar kepada saya satu tan dodol. Mereka hantar banyak sangat jadi saya terpaksa agihkan semula. Saya tidak tahu sama ada ini rasuah atau tidak,” katanya sambil bergurau.

fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Mahathir berkata, semua menteri juga perlu melaksanakan pelan anti rasuah peringkat organisasi masing-masing dan menentukan ia berjaya dibangunkan.

Semua menteri juga perlu mempengerusikan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan anti rasuah peringkat kementerian sekurang-kurangnya dua kali setahun, katanya.

Dr Mahathir berkata setiap menteri juga perlu memastikan ketelusan perolehan awam dan pengurangan risiko rasuah di kementerian masing-masing.

Katanya menteri perlu memastikan maklumat petender yang berjaya dalam perolehan tender terbuka yang diluluskan diperingkat Lembaga Perolehan Kementerian bagi semua kategori perolehan, dipaparkan dalam portal myProcurement.

Ditanya berkenaan pihak yang akan memantau semua inisiatif itu, Dr Mahathir berkata GIACC akan membuat pemeriksaan berdasarkan aduan daripada orang awam.

Beliau berkata mesyuarat JKKMAR itu diadakan pada setiap bulan kerana kerajaan merasakan rasuah adalah jenayah yang akan menghalang kejayaan negara dan memerlukan tindakan pelbagai agensi dan setiap anggota pentadbiran.

“Semuanya memainkan peranan untuk mencegah rasuah dan masing-masing perlu tahu apakah cara mereka bergerak untuk mencegah rasuah sebab itu kita adakan mesyuarat berkali-kali untuk semak laporan kemajuan yang dicapai,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :