NASIONAL

PM kesal penggiat media sosial ditahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa dan kesal berikutan penahanan penggiat media sosial di Balai Polis Tampoi Johor malam tadi.

Dalam laman twitternya, beliau berkata, rakyat bebas mengkritik mana-mana pemimpin dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kecuali ugutan, fitnah atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara.

“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial itu,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan.

Terdahulu, Penulis dan editor, Firdaus Abdillah Hamzah atau @pipiyapong ditahan di Balai Polis Tampoi, Johor dipercayai status yang menghina Raja-raja Melayu.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan kaitan dengan penulis berkenaan.

“Salam Jumaat. Istana Johor tidak pernah buat report (laporan) dari dulu hingga ke hari ini.

“Jikalau ada report ia kemungkinan dari pihak lain. Ini tiada kaitan dengan kami,” titahnya.


Pengarang :