PM Mahathir tiba di Tokyo untuk lawatan kerja tiga hari | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

PM Mahathir tiba di Tokyo untuk lawatan kerja tiga hari

TOKYO, 29 MEI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda hari ini untuk lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-25 Mengenai Masa Depan Asia, atau Persidangan Nikkei.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan Rabu. Malaysia adalah satu jam di belakang Jepun.

Jadual acara Dr Mahathir di Jepun merangkumi senarai yang padat, mesyuarat dan temubual media, bermula dengan menyampaikan ucaptama pada persidangan pembukaan Nikkei esok.


Turut mengalu-alukan ketibaan beliau di lapangan terbang itu ialah Naib Menteri Parlimen Jepun, Kenji Yamada; Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa dan isteri Yuko Miyagawa; dan Pengarah Kedua bagi Asia Tenggara, Kementerian Luar Negeri Jepun, Shingo Miyamoto.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan dan isteri, Datin Josephine Anak Dagang turut hadir.

Pada Persidangan Nikkei, ucapan Dr Mahathir akan berkisar pada tema “Seeking a New Global Order – Overcoming the Chaos”.

Satu lagi acara kunjungan Dr Mahathir ialah pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Shinzo Abe, serta beberapa perbincangan dengan pemimpin perniagaan Jepun dan kelab wartawan asing.

Beliau juga dijadual menyampaikan ucapan mengenai situasi semasa Malaysia dan jangkaan pelaburan dari Jepun semasa Dialog Perniagaan Malaysia-Jepun, anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro).

Dr Mahathir dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next