BERITA UTAMANASIONAL

PM: Malaysia di tangga ke-19 Indeks Pendidikan Berkualiti 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 MEI: Malaysia berada di tangga ke-19 dari 141 negara di seluruh dunia bagi Indeks Pendidikan Berkualiti 2018, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Laporan Forum Ekonomi Dunia itu menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul sekali gus diiktiraf sebagai negara yang kompetitif.

Katanya, Malaysia turut dilihat progresif dalam bidang pendidikan berbanding beberapa negara maju yang lain.

“Namun, kita perlu melakukan penambahbaikan yang berterusan dan menyediakan murid di negara ini menghadapi perubahan disruptif hasil dari teknologi baru dan canggih.

“Sistem pendidikan hari ini yang berhadapan dengan cabaran memerlukan anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungannya terus relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke 48 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata, justeru itu, Kerajaan mensasarkan semua kanak-kanak lelaki dan perempuan di negara ini mendapat pendidikan berkualiti dan inklusif serta diberi peluang mengikuti pembelajaran sepanjang hayat, menjelang 2030.

Katanya, Kerajaan berusaha menyediakan prasarana dan infrastruktur pendidikan berkualiti demi memenuhi aspirasi murid dan sistem.

“Namun, ia memerlukan usaha kolaboratif daripada semua pihak demi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.


Pengarang :