KUALA LUMPUR, 3 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk tengah) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk kanan) yang juga Presiden PH dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk kiri). — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

PM: Malaysia harap dapat semula RM28.98 bilion duit 1MDB

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Malaysia berharap mendapat semula sejumlah RM28.98 bilion (US$7 bilion) yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Amerika Syarikat (AS) kini sedang membuat persediaan untuk memulangkan dana berjumlah RM828 juta (US$200 juta) yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Mereka akan memulangkannya kepada kita. Mereka tahu ini adalah duit kita. Singapura juga akan memulangkan balik kepada kita,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary, di sini hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, duit 1MDB yang dicuri kira-kira RM18 bilion (US$4.3 bilion) akan kembali semula ke Malaysia tetapi bukan kesemuanya.

Menurut satu laporan berita daripada Bloomberg hari ini, pihak berkuasa AS sedang membuat persiapan untuk memulangkan dana berjumlah kira-kira US$200 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB kepada Malaysia, yang dijangka dipindahkan secepat mungkin minggu depan.

Laporan itu menyatakan ia termasuk kira-kira US$140 juta yang dijana daripada penjualan saham dalam Hotel Park Lane di New York, serta penyelesaian yang dibayar oleh penerbit filem “Wolf of Wall Street” bernilai US$60 juta.

Bloomberg berkata pihak berkuasa Singapura juga akan memulangkan kira-kira S$35 juta (SG$1=RM3.04), yang diserahkan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dan keluarganya berkaitan dengan 1MDB kepada Malaysia.

Ia berkata perintah mahkamah Singapura diberikan pada 12 Mac agar duit itu dihantar balik kepada 1MDB.

Goldman Sachs memperoleh bayaran berjumlah kira-kira US$600 juta bagi tugasnya dengan 1MDB, yang termasuk tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013 yang mengumpulkan US$6.5 bilion.

Tahun lalu, Peguam Negara Switzerland Michael Lauber mengesahkan dana 1MDB berjumlah kira-kira US$7 bilion beredar dalam sistem kewangan global dan kerajaan Switzerland telah membekukan kira-kira 400 juta Swiss francs (1 Swiss France=RM4.07) yang dipercayai berkaitan dengan dana tersebut di negara itu.

Menurutnya, beliau sudah berhubung secara terus dengan peguam negara Malaysia untuk menjelaskan bahawa Switzerland masih berminat untuk menyelaraskannya dengan Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :