NASIONAL

PM sahkan Hamid Bador dicadang sebagai Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA, 1 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dicadangkan sebagai Ketua Polis Negara.

“Saya fikir Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sudah tandatangan (surat pelantikan),” katanya ketika ditemui media yang meminta pengesahan sama ada Abdul Hamid adalah merupakan Ketua Polis Negara yang baharu.

Dr Mahathir berkata demikain selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019, yang bertemakan “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara” di sini hari ini.

Sebelum ini timbul ura-ura Abdul Hamid akan dipilih bagi mengisi jawatan nombor satu polis itu menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara wajib pada 3 Mei.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Sept 2017.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang sebelum ini dipegang Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata buat masa ini, masih belum ada calon untuk jawatan itu.

“Itu kita akan lihat dan mereka akan dapat pemimpin yang baru kerana Razali, dia minta berhenti,” katanya.

Razali meletak jawatan sebagai Pengerusi Suhakam pada 15 April lepas, dua minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April.

– BERNAMA

Foto Sumber: Facebook Bernama Radio

 


Pengarang :