NASIONAL

PM:10,000 sekolah terima manfaat penguasaan Bahasa Inggeris

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 MEI : Kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Imersif Tinggi dan Program Dwibahasa untuk melatih penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, program itu memberi peluang kepada murid untuk mengguna pakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi.

“Ini selari dengan wawasan negara yang sedang menuju Revolusi Industri 4.0.

“Maka guru perlu menanamkan minat dan kesedaran dalam kalangan murid untuk mempelajari serta menguasai mata pelajaran yang berasaskan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke 48 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.

Tun Mahathir berkata, Kerajaan juga sedar penguasaan Bahasa Melayu adalah penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu kerana ia adalah bahasa pengantar utama.

“Namun pada masa sama, kita harus sedar bahawa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid juga amat penting bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih baik.

“Ia sekali gus membolehkan masyarakat Malaysia meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaingdi peringkat global sebagaimana dihasratkan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.


Pengarang :