SELANGOR

PNSB rancang bina 217 Rumah Selangorku di Taman Air Manis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI : Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) komited untuk meneruskan pembinaan projek perumahan di Taman Air Manis, Panchang Bedena, Sabak Bernam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Ahmad Omar berkata, pihaknya merancang mahu membina 217 unit Rumah Selangorku, 12 unit kedai dan 12 unit ‘townhouse’.

“Rumah contoh juga sudah ada dan kita jangkakan akan mula membinanya pada hujung tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023.

“Berkenaan pembinaan Rehat dan Rawat (R&R), perkara itu akan dibincangkan semula bersama pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu PNSB.

Perancangan asal pembangunan terbabit berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja R&R.


Pengarang :