NASIONAL

Polis rampas dadah, tahan 275 dalam Op Pemutihan Aidilfitri

 

JOHOR BAHRU, 27 Mei: Polis merampas 625.98 gram dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM18,000 di seluruh negeri ini hasil 147 serbuan menerusi Op Pemutihan bersempena Aidilfitri mulai 19 Mei sehingga dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata menerusi operasi sama, pihaknya menahan 275 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang terbabit.

“Antara dadah dirampas termasuk heroin seberat 268.54 gram, syabu (288.36 gram), ganja (68.43 gram), ketamine (0.65 gram), lapan biji pil ekstasi serta 11 biji pil Eramin 5,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Johor, di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata Op Pemutihan berkenaan menumpukan usaha menangani jenayah ragut, dadah serta pecah rumah sekali gus memastikan perayaan Aidilfitri berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata menerusi operasi sama, pihaknya turut menahan 20 individu yang memiliki waran tangkap dan operasi terbabit akan diteruskan sehingga malam raya minggu depan.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden dua wanita warga China yang dipukul di pasar pagi Taman Megah Ria, di sini, dua hari lepas, kerana disyaki melakukan penipuan sebagai bomoh tolak bala, Mohd Khalil mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan mencederakan suspek apabila berhadapan dengan apa-apa kejadian jenayah.

Beliau berkata orang ramai tidak boleh bertindak di atas undang-undang sendiri sebaliknya membuat laporan polis supaya sebarang tindakan dapat diambil tindakan pihak berkuasa.

“Bila anda ambil tindakan sendiri, kita terpaksa lakukan siasatan terhadap anda,” katanya dengan menambah kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 147 kanun sama kerana merusuh.

Dua hari lepas, tular di laman Facebook menunjukkan dua wanita warga China dipukul beberapa peniaga di pasar pagi berkenaan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan dan pukau terhadap warga emas rakyat tempatan.

Kedua-dua wanita berumur lingkungan 50-an tersebut mengalami kecederaan di kepala dan badan lalu dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini, untuk rawatan lanjut. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)


Pengarang :