NASIONAL

Polis rampas daun ketum di Jeli

 

JELI, 20 Mei: Polis merampas daun ketum seberat 430 kilogram bernilai RM13,000 di Kampung Salor, Batu Melintang dalam satu sekatan jalan raya Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, rampasan terbabit dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada pukul 1.30 tengah hari selepas menahan kereta yang dinaiki oleh dua suspek berumur 21 dan 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan, anggota kami menemui 43 bungkus plastik hitam yang mengandungi 2,133 balutan plastik lut sinar yang dipercayai (daun) ketum.

Anggota kami juga turut menemui satu bungkusan plastik cerah yang berikat dengan gelang getah berisi cecair keperangan disyaki air ketum dan menemui satu botol plastik putih berisi cecair disyaki dadah jenis ubat batuk,” katanya pada sidang media di IPD Jeli di sini, hari ini.

Ahmad berkata soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mengakui bekalan ketum itu diperoleh dari Kedah untuk dipasarkan di Daerah Machang.

“Suspek hanya mengambil upah RM400 satu perjalanan untuk membawa masuk bekalan itu ke negeri ini. Salah seorang daripada suspek terbabit turut mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan aktiviti jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Mei depan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA


Pengarang :