NASIONAL

Polis: Razak Baginda ada beri sampel tulisan tangan

SHAH ALAM, 14 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda ada memberikan sampel tulisan tangannya kepada pegawai polis pada 14 dan 15 November 2006.

ASP Ahmad Abu Bakar, 47, yang memberi keterangan pada perbicaraan kes saman sivil difailkan keluarga model Mongolia yang mati dibunuh pada 2006, Altantuya Shaariibuu, berkata beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengambil sampel tulisan tangan Abdul Razak selama dua hari berturut-turut pada tarikh berkenaan.

Ahmad yang kini bertugas di Bahagian Kajian Kes, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman berkata beliau diarahkan oleh Timbalan Pegawai Turusnya ketika itu, DSP Gan Tack Guan pada 14 Nov 2006 pukul 3 petang sebelum berjumpa dengan seorang pegawai lain, DSP Zainuddin untuk memberitahu tujuannya mendapatkan sampel tulisan tangan itu.

Kata Ahmad, sampel tulisan tangan berkenaan diambil daripada Abdul Razak di bilik soal siasat dalam bilik tahanan di Bukit Aman.

Ketika ditanya peguam keluarga Altantuya, Harshaan Zamani, apa yang berlaku selepas menerima arahan berkenaan, Ahmad berkata beliau berjumpa DSP Zainuddin dan diserahkan sehelai salinan faks bertulisan tangan yang dirampas oleh ASP Zulkarnain.

Harshaan Zamani : Apa yang berlaku selepas kamu ditunjukkan salinan faks itu?

Ahmad : Selepas itu, ASP Zulkarnain menulis semula sebahagian salinan faks berkenaan yang ada tertulis nama ‘Abdullah’, alamat rumah, Hotel Malaya Jalan Hang Lekir dan nama ‘Amina’.

Selepas dapat tulisan itu, saya jumpa Abdul Razak pada hari sama di bilik soal siasat untuk ambil tulisannya.

Harshaan Zamani : Bagaimana kamu arahkan Abdul Razak semasa mengambil sampel tulisannya? Adakah sehelai salinan atau beberapa?

Ahmad : Saya berjumpa Abdul Razak dan memberitahu tujuan saya. Beliau bersetuju. Saya bacakan perkataan yang ditulis oleh DSP Zainuddin dan Abdul Razak menulisnya di atas kertas bersaiz A4. Ada lima salinan atas dan bawah.

Harshaan Zamani : Kamu ambil sepuluh salinan?

Ahmad : Ya betul. Selain tu saya minta Abdul Razak tandatangan setiap helai kertas itu di depan saya dan saya juga tandatangan setiap helai kertas berkenaan.

Saksi kesepuluh plaintif itu memberi keterangan pada perbicaraan saman RM100 juta yang difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua cucu lelaki mereka – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga pada 4 Jun, 2007.

Mereka menamakan Azilah dan seorang lagi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lalu.

Ahmad berkata beliau kemudian menyerahkan sampel tulisan tangan Abdul Razak kepada pegawai penyiasat kes pembunuhan Altantuya, ASP Tony Lunggan pada 17 Nov 2006.

Terdahulu, prosiding perbicaraan itu turut mendengar permohonan peguam plaintif, Sangeet Kaur Deo untuk mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes perbicaraan pembunuhan Altantuya sebelum ini daripada pihak Peguam Negara dan Ketua Bahagian Pendakwaan.

Pihak Plaintif antara lain menuntut sesalinan semua pernyataan yang diambil oleh polis dalam siasatan kes itu termasuk pihak yang tidak menjadi Saksi Pendakwaan; sesalinan asal kesemua eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan; butir nombor kad pengenalan, termasuk nama serta alamat pihak disiasat sama ada dipanggil sebagai saksi pendakwaan atau sebaliknya dan atau yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Selain itu, plaintif turut memohon sesalinan kesemua pernyataan, sama ada dalam bentuk bertulis atau rakaman yang diambil oleh polis dalam proses siasatan dan pendakwaan Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok dan beliau menetapkan permohonan itu diputuskan pada Khamis.

-BERNAMA


Pengarang :