NASIONAL

Polis siasat kes dakwaan gangguan seksual

SHAH ALAM, 18 MEI: Beberapa saksi dipanggil untuk siasatan sebelum sebarang tindakan diambil berhubung kes bekas pembantu seorang anggota parlimen di Perak yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota parlimen itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, menerusi laporan polis yang dibuat oleh wanita berusia 47 tahun itu pada Khamis lepas (16 Mei) beliau menyatakan telah dicabul dan diaibkan oleh seorang lelaki yang merupakan seorang anggota parlimen.

“Wanita itu yang merupakan bekas pegawai penyelidik mendakwa kejadian itu berlaku beberapa kali sejak Disember 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fadzil kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan.

Media tempatan terdahulu melaporkan yang bekas pembantu anggota parlimen itu membuat laporan polis yang beliau telah diganggu secara seksual.

Laporan itu turut menyebut wanita itu mendakwa anggota parlimen berkenaan telah menunjukkan buku ‘Kamasutra’ dan gambar lucah kepadanya. – BERNAMA


Pengarang :