NASIONAL

Polis tahan bekas pekebun simpan dadah RM450,000

KUALA LUMPUR, 21 MeEI: Polis merampas dadah yang dianggar bernilai lebih RM450,000 dan menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di bandar raya, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 51 tahun yang merupakan bekas pekebun kelapa sawit itu ditahan pada kira-kira 11.30 malam di satu kawasan parkir sebuah kondominium di Cheras.

“Suspek turut ditahan bersama dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 264 gram dan ketamin seberat 104 gram yang dipercayai akan diedar di pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

“Polis kemudiannya menyerbu kondominium yang dihuni suspek kira-kira 45 minit selepas suspek ditahan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki serbuk ekstasi (3.47 kg), ketamin (1.08 kg), pil erimin 5 (480 biji), pil ekstasi (112 biji) dan heroin (26 gram) yang dianggarkan bernilai hampir setengah juta ringgit.

Mazlan berkata, pihaknya turut menyita sejumlah wang tunai, dua utas rantai, dua bentuk cincin, jam tangan jenama Rolex serta sebuah kenderaan jenis Range Rover yang nilainya dianggar berjumlah RM357,000.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek aktif sejak enam bulan lalu dan dipercayai tekad meninggalkan pekerjaannya sebagai pekebun demi hidup mewah hasil pengedaran dadah.

Menurutnya berdasarkan siasatan, dadah yang diperolehi itu biasanya akan dicampur dengan serbuk minuman sebelum dibungkus semula dalam paket-paket minuman yang kemudian dijual dengan harga RM300 sehingga RM400 sepaket.

“Suspek yang juga dikesan positif dadah kini direman tujuh hari sehingga dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :