Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
NASIONAL

Polis tahan ketua kampung jual rokok, mercun seludup

PARIT, 28 MEI: Baru beberapa jam menerima bekalan mercun daripada pembekal, seorang ketua kampung tidak sempat menjual barangan larangan tersebut apabila rumahnya di sebuah kuarters kerajaan di Kampung Gajah di sini, diserbu polis, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menyerbu rumah tersebut dan menahan lelaki berumur 57 tahun yang juga seorang kakitangan awam dipercayai sedang bercuti sebelum bersara, kira-kira pukul 11.10 malam.

Katanya dalam serbuan itu, polis merampas 186 kotak mercun pelbagai jenama bernilai RM5,000 serta 74 karton rokok seludup dengan anggaran nilai RM2,000 yang dipercayai untuk dijual.

“Siasatan mendapati mercun dan rokok seludup itu untuk dijual di Kampung Gajah serta daerah Perak Tengah namun penjualannya tidak dilakukan secara terbuka.

“Kesemua rampasan tersebut bernilai RM7,000 dan dipercayai jika dijual, penjual boleh mendapat keuntungan sehingga tiga kali ganda,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek yang memiliki sebuah kedai runcit dipercayai menjual rokok seludup sejak hampir enam tahun lepas dan menjadikan rumah kosong di sebelah rumahnya sebagai tempat simpanan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan mercun serta rokok seludup daripada kenalan di Teluk Intan dan dia kini direman tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki serta menjual mercun dan bunga api tanpa permit serta Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan atau menyembunyikan barang larangan.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :