NASIONAL

Polis tahan lelaki dipercayai bakar warung roda tiga

BUTTERWORTH, 29 Mei: Seorang lelaki warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian membakar sebuah warung roda tiga di Bagan Ajam, di sini Isnin lepas, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Katanya, warga emas berusia 67 tahun itu dipercayai membakar warung itu kira-kira pukul 8.45 pagi dan perbuatannya itu berjaya dirakam sebuah kamera litar tertutup yang dipasang di sebuah kedai berhampiran.

“Pemilik warung itu sendiri yang telah menangkap warga emas itu berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada hari yang sama sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini.

Noorzainy berkata warga emas itu kini ditahan reman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda.

“Polis juga sedang mengenalpasti motif sebenar suspek hingga dia sanggup membakar warung berkenaan,” katanya, sambil menambah kejadian itu telah menyebabkan pemilik warung itu kerugian lebih RM10,000. -BERNAMA


Pengarang :