NASIONAL

Polis tahan lelaki, rampas syabu 27.39 kg

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas dadah disyaki syabu seberat 27.39 kilogram bernilai RM1.5 juta di sebuah rumah kedai di Taman Impian Emas, Skudai, dekat sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Utara (JBU), ACP Mohd Taib Ahmad berkata serbuan 4.30 petang itu, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JBU selepas intipan selama tiga hari, dan menahan lelaki berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

“Bangunan rumah kedai yang diserbu ini baru dan belum lagi diduduki, dan kita menemui dadah berkenaan di tingkat satu.

“Kita merampas 28 paket bungkusan yang menyerupai bungkusan teh disyaki syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah JBU, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata bungkusan teh berkenaan menyerupai bungkusan rampasan dadah sebanyak 2.06 tan di Seri Alam dua bulan lepas, yang juga rampasan terbesar dalam sejarah negara.

“Kita percaya ada kaitan kerana bungkusan sama, bagaimanapun ia masih dalam siasatan.

“Namun, rampasan di Seri Alam melibatkan sindiket manakala rampasan (kali ini) (kita percaya) bukanlah sindiket. Kita juga sedang menyiasat semenjak bila mereka aktif mengedar dadah, untuk pasaran tempatan di sekitar Bandar Raya Johor Bahru,” katanya.

Mohd Taib berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam, di bawah Sesyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dan kita masih siasat kemungkinan ada lagi suspek yang terlepas.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

 


Pengarang :