NASIONAL

Polis tahan lelaki samseng jalanan tampar, tumbuk wanita

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Polis telah menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai samseng jalanan yang dipercayai mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita di Jalan Dato Keramat di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Noor Azmi Yusoff berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Datuk Keramat pada kira-kira pukul 10 malam Khamis lepas susulan laporan polis seorang wanita yang mendakwa dicederakan seorang penunggang motosikal.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang kini ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat lepas sehingga Selasa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek itu mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

Kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu sempat dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang menunjukkan suspek menumbuk kepala dan menampar muka wanita itu yang keluar daripada keretanya.

Lelaki itu yang berang dengan mangsa yang dikatakan bertukar lorong tanpa memberi isyarat terus menghempas topi keledarnya pada bumbung kereta mangsa.

Wanita itu yang keluar daripada kereta untuk melihat kerosakan pada kenderaanya itu ditampar dan ditumbuk oleh lelaki itu. Video kejadian itu dan tindakan orangramai datang menyelamatkan wanita itu tular di media sosial.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :