NASIONAL

Polis tahan pemuda bersama 300 kg ketum

ALOR SETAR, 29 MEI: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 30 bungkusan daun ketum seberat 300 kilogram, yang dianggarkan bernilai RM9,000 di Jalan Kampung Tengah, Kuala Nerang, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, lelaki berumur 21 tahun ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira pada pukul 3.30 petang.

“Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap telah menahan kereta tersebut semasa menjalankan Op Lejang dan hasil pemeriksaan, menemui 26 bungkusan plastik hitam di dalam kereta dan empat lagi bungkusan di dalam bonet belakang kereta yang mengandungi daun ketum.

“Hasil siasatan awal, suspek yang sudah berkahwin dan tidak bekerja itu mengambil bekalan daun ketum dari Naka, Kuala Nerang untuk dijual kepada pembekal di Perlis sebelum ia dijual ke Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noh berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu, hanya menjadi orang tengah untuk menghantar bekalan daun ketum bagi mencari duit tambahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

– BERNAMA


Pengarang :