NASIONAL

Polis tahan tiga lelaki disyaki anggota kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Seorang lelaki tempatan dan dua rakyat asing disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan hari ini berkata kesemua lelaki yang berusia antara 28 dan 42 tahun itu ditahan dalam operasi polis sejak Jumaat lepas sehingga hari ini.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 Mei ketika hendak berlepas ke Mesir dan seterusnya menyusup masuk ke Syria.

Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu juga telah berbaiah sebanyak dua kali dengan pemimpin kumpulan pengganas Daesh Abu Bakar Al-Baghdadi melalui laman sosial Facebook.

“Suspek berpegang kuat kepada ideologi salafi jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir… mana-mana umat Islam yang terlibat dalam pilihan raya juga dilabel sebagai kafir dan boleh dibunuh,” katanya.

Abdul Hamid berkata tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki Indonesia yang ditahan di Keningau, Sabah, yang bekerja sebagai buruh kasar.

Beliau berkata lelaki berusia 20 tahun itu disyaki bertindak sebagai fasilitator kepada kumpulan pengganas di Indonesia yang transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina bagi melancarkan serangan bunuh diri.

“Suspek juga menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria,” katanya.

Abdul Hamid berkata tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang ditahan hari ini di Kuala Kedah, kerana disyaki menyokong kumpulan pengganas Islamic State Bangladesh.

Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai pembantu mekanik enjin kapal itu turut memiliki bahan serta kepakaran untuk menghasilkan jerangkap rekaan elektrik (IED).

Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)

Sementara itu, menurutnya polis juga sedang berusaha mengesan seorang lagi anggota kumpulan Daesh Indonesia yang dikesan transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina.

Beliau berkata lelaki yang dikenali sebagai Marwan itu berusia lingkungan 30-an dan berasal dari Indonesia dengan beralamat terakhir di Kampung Keritan Laut, Keningau, Sabah.

Abdul Hamid berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Razizuan Mohd Razali di talian 017-3278435 atau balai polis berhampiran.

“Mana-mana individu yang didapati menyembunyikan maklumat atau bersubahat atau melindungi individu berkenaan boleh dituduh mengikut Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tujuh hingga 30 tahun,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :