NASIONAL

Polis temui sangkar monyet ditembak dalam sungai

LUMUT, 26 MEI: Polis menemukan semula sangkar seekor monyet yang ditembak mati seorang remaja di Sitiawan dekat sini, minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sangkar tersebut ditemukan di dalam sungai berhampiran lokasi kejadian beberapa hari lepas hasil bantuan pihak marin, namun sehingga kini bangkai haiwan itu belum dijumpai.

“Sangkar itu merupakan satu perangkap monyet. Monyet yang ditembak adalah seekor monyet liar terjerat masuk perangkap.

“Boleh dikatakan motif kejadian adalah untuk menghapus monyet liar tersebut, namun suspek menggunakan pendekatan yang salah dalam tindakannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Video berdurasi 19 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki menembak mati seekor monyet yang dilaporkan berlaku pada 18 Mei gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’.

Susulan kejadian itu, polis menahan remaja lelaki itu yang berusia 18 tahun bersama bapanya yang berumur 54 tahun di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada 9.20 malam, Rabu lalu.

Dua beranak tersebut direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan tempoh reman mereka berakhir hari ini.

Razaruddin berkata, siasatan yang dijalankan hampir lengkap namun kertas siasatan perlu dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Dua beranak berkenaan akan diberi jaminan polis hari ini sehingga mendapat arahan daripada timbalan pendakwa raya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :