GLOBAL

Polis Thailand rampas 500kg dadah di Bangkok

BANGKOK, 31 Mei : Polis Thai merampas 500kg dadah ‘ice’ yang disembunyikan di dalam bonet sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan menahan seorang rakyat tempatan dalam serbuan di sebuah pusat pemeriksaan di lebuh raya dalam daerah Saimai di Bangkok pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Chalermkiat Srivorakan berkata polis menjumpai 25 guni ‘ice’ atau hablur kristal methamphetamine yang dibungkus dan dilabelkan sebagai daun teh, di dalam bonet SUV itu, setiap satu seberat 20kg.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 32 tahun dari Narathiwat, yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, antara 2009 dan 2010.

“Suspek mengaku dia dibayar 100,000 Baht untuk mengambil dadah itu di wilayah Saraburi (tengah Thailand) untuk menghantar dadah itu ke wilayah sempadan selatan Thailand.

“Dadah itu dipercayai untuk diseludup dari kilang dadah di sebuah negara berjiran ke wilayah timur laut Thailand sepanjang Sungai Mekong ke wilayah sempadan selatan,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Metropolitan Mej Jen Daoloy Muendet berkata siasatan awal mendapati dadah itu dipesan oleh dalang dari wilayah di selatan sempadan.

“Polis sudah mengenal pasti dalang itu,” katanya.

Dadah dipercayai akan singgah di Malaysia sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa. -BERNAMA


Pengarang :