NASIONAL

Pos Malaysia keluarkan setem ‘Tempat Ibadat-Siri II’

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Bermula 12 Mei 2019, peminat setem di seluruh Malaysia boleh mendapatkan koleksi ‘Tempat Ibadat-Siri II’ yang dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, terdapat lima setem dengan nilai muka 80 sen setiap satu dihasilkan bagi siri kali ini.

Katanya, antara rumah ibadat yang diketengahkan ialah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Kelantan), Tokong Hong San Si (Sarawak), Sri Karthivel Murugan Maha Parasakthi Patchai Amman (Perak), Gereja St. George (Pulau Pinang) dan Gurdwara Sahib (Wilayah Persekutuan Labuan).

“Rumah ibadat dipilih untuk dipaparkan pada siri setem kali ini bagi mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian ras, agama serta kebudayaan yang hidup secara harmoni, sekali gus memaparkan keunikan seni bina juga sejarah tempat berkenaan.

“Sejumlah 1 juta keping setem dikeluarkan untuk siri kali ini dengan lima helaian setem (200,000 keping setiap reka bentuk) bernilai RM80 setiap satu dan setiap helaian mengandungi 20 keping setem,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bagi melengkapkan lagi siri setem itu, Pos Malaysia turut menghasilkan produk philateli lain seperti 27,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC) yang didatangkan bersama brosur percuma bernilai RM4.50 setiap satu.

“Manakala 1,600 keping folder siri ini boleh didapati pada harga RM6 setiap satu. Set folder lengkap dijual pada harga RM90.50 setiap satu dan cap tarikh khas untuk siri ini berupa lima kubah rumah ibadat,” katanya.

Pos Malaysia pernah mengeluarkan siri setem dengan tema sama pada 2016 bertajuk ‘Tempat Ibadat’ dan ‘Masjid di Malaysia’, pada 2015 sempena memperingati ulang tahun ke-50 Masjid Negara.


Pengarang :