NASIONAL

PPM Pelabuhan Klang rampas rokok seludup lebih RM300,000

SHAH ALAM, 14 MEI: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 1,251 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM307,382.82 dalam satu operasi di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang dekat sini petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang DSP Mohd Khairuddin Jamal berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang digunakan untuk membawa rokok terbabit.

“Operasi yang dijalankan pada kira-kira pukul 5 petang itu merupakan hasil daripada risikan yang mana kami telah berjaya mengesan sebuah MPV berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang.

“Menyedari diekori, pemandu MPV berkenaan telah memecut laju ke arah Klang untuk melarikan diri, selepas dikejar selama 10 minit pemandu MPV bertindak memandu ke sebuah jalan tidak berturap di Taman Bandar Bestari, pemandu itu kemudian keluar dari keretanya selepas menyedari beliau telah memasuki jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu MPV berkenaan berjaya melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan ke atas MPV yang ditinggalkan itu mendapati sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenis disimpan di bahagian tempat duduk penumpang.

“Kenderaan dan rokok berkenaan telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut, nilai keseluruhan rokok dan MPV yang dirampas dianggarkan RM372,382.82 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, PPM Pelabuhan Klang akan terus menggandakan operasi mencegah penyeludupan sempena musim perayaan ini dan masyarakat diseru tampil memberikan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan di perairan negara.

-BERNAMA


Pengarang :